Ketuanan Melayu: Masih ramai terpinggir,miskin - Anwar

Posted On 10:01 PM by Ismawi Ishak |

Harakahdaily
Mon | Nov 03, 08 | 4:43:25 pm MYT
<>PIPOH, 3 Nov (Hrkh) - Konsep ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh sesetengah pihak hanya memberi faedah dan memperkayakan segelintir orang Melayu sahaja di negara ini, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim.


"Saya percaya bahawa Melayu dan Bumiputera mempunyai tempat di negara ini dan mereka tidak boleh dipinggirkan. Kita akan melakukan segala yang mungkin bagi membantu orang Melayu dan Bumiputera bersama-sama dengan orang Cina dan India.

"Namun untuk memperkatakan mengenai ketuanan Melayu di mana kita hanya memperkayakan segelintir pihak tetapi sebilangan besar orang Melayu lain terbiar dalam keadaan menyedihkan, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima," katanya dipetik Bernama selepas menyampaikan syarahan eksekutif di Bangunan Darul Ridzuan di sini,hari ini.

Beliau berkata kenyataan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato' Zaid Ibrahim baru-baru ini bahawa konsep ketuanan Melayu adalah satu kegagalan yang membawa keburukan kepada kaum itu perlu dikaji secara teliti oleh semua pihak.

Zaid dalam ucapannya pada persidangan LawAsia di Kuala Lumpur minggu lepas, berkata konsep itu juga menyebabkan berlaku pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar negara.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Dato' Seri Shahidan Kassim menyifatkan kenyataan Zaid itu sebagai keterlaluan manakala Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Syed Hamid Albar pula mahu Zaid memohon maaf kepada orang Melayu. - mks. _

0 Response to 'Ketuanan Melayu: Masih ramai terpinggir,miskin - Anwar'