Oleh ABDUL SHUKUR HARUN
PADA suatu pagi seorang pesara di sebuah pekan di Kulim, utara tanah air, mencapai akhbar tabloid yang dibawa oleh anaknya dari Kuala Lumpur lalu membacanya, lembaran demi lembaran.
Suasana politik tanah air ketika itu masih panas, baru beberapa minggu keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 diketahui, yang menggegarkan sendi-sendi orang politik dari utara hingga ke selatan, mungkin juga Sabah dan Sarawak.
Pesara berumur 60-an itu sangat tertarik membaca sebuah berita dalam akhbar tabloid di tangannya itu. Berita itu bagi orang biasa yang tidak prihatin mungkin biasa-biasa saja, mengenai ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
“Saya ingin mencontohi Khalifah Umaiyah, Umar Abdul Aziz dalam gerak kerja saya.” Ucapan Lim Guan Eng itu diberi ketika bertemu pertama kali dengan kakitangan jabatannya di Komtar, Pulau Pinang selepas beberapa minggu dilantik Ketua Menteri.
Ini bukan sesuatu leluchon atau boleh menjadi bahan tertawaan, tetapi ia memancarkan suatu lintasan keazaman seorang pemimpin muda yang penuh dengan idealisme. Dua hal yang menarik perhatian pesara itu. Pertama yang menjadi contoh KM Pulau Pinang itu adalah Umar Abd Aziz. Kedua yang hendak menjadikannya contoh itu ialah seorang pemimpin Pakatan Rakyat, Lim, yang bukan beragama Islam.
Orang tua itu mengurut dadanya, merasa sangat terharu bahawa seorang pemimpin muda yang bukan beragama Islam hendak menjadikan ketokohan khalifah Islam sebagai contoh. Sama ada kata-katanya itu kenyataan politik atau memang benar-benar keazaman yang lahir dari hati nuraninya, itu bukan persoalan. Tetapi yang menarik perhatian ialah lintasan fikiran Lim akan ketokohan khalifah yang sangat sederhana itu.
Anak lelaki pesara itu turut memerhatikan gelagat ayahnya dan tahu bahawa ayahnya tertarik dengan berita tersebut, lalu berkata: “Berita semacam ini tidak mungkin kita jumpai dalam akhbar perdana di Kuala Lumpur. Ia hanya tersiar dalam akhbar kecil seperti ini.”
Ayahnya seorang pesara generasi lama, yang turut terkejut dengan keputusan PRU Ke-12 itu, walaupun beliau menjangka pembangkang akan memenangi beberapa kerusi Parlimen dan Dun lagi di beberapa negeri. Ini berdasarkan bacaannya kepada beberapa akhbar tabloid yang dibawa anaknya dari Kuala Lumpur – Harakah, Siasah, Wasilah, Sinar Harian dan Suara Keadilan - serta potongan berita pelbagai laman web.
Akhbar tabloid ini menjadi gerbang baru orang tua itu menjengah ke dunia luar, mendapat maklumat alternatif sekitar dunia politik, terutama ketika kempen PRU Ke-12. Selama ini, pesara itu hanya menatap media perdana yang memberikan maklumat satu hala dan terbatas.
Anaknya itu, bukanlah pemimpin parti politik, tetapi hanya seorang profesional biasa yang bekerja di Kuala Lumpur yang terdedah dengan ICT, melayari dunia web-site, blog dan YouTube serta membaca pelbagai tabloid. Fenomena baru dunia maklumat ini memberikan pengalaman dan kesedaran baru kepadanya.
Ada lintasan fikiran dalam hati saya, siapakah yang memperkenalkan perwatakan Umar Abd Aziz yang hebat ini kepada Lim?
Saya diberitahu oleh seorang pemimpin PAS bahawa Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor memberikan sebuah buku mengenai Khalifah Umar itu kepada Lim ketika Almarhum dengan beberapa pemimpin lain mengunjungi Lim di penjara suatu masa dulu.
Mesej yang jelas di sini ialah impian Almarhum Ustaz Fadzil untuk melihat para pemimpin masa depan - Islam atau bukan Islam – mestilah adil, sederhana dan bermoral tinggi, seperti yang dipancarkan dalam watak kepimpinan Umar Abd Aziz. Bayangkan betapa gembiranya Almarhum Ustaz Fadzil andainya ia masih ada hayat, mendengar kenyataan pemimpin baru Pulau Pinang itu.
Berdasarkan beberapa buku yang saya baca mengenai tokoh khalifah Islam yang hebat ini, dapat dirumuskan bahawa seseorang pemimpin mestilah adil, memiliki kehidupan sederhana dan bermoral tinggi. Semuanya mestilah beriringan, ertinya tidak terpisah.
Antara kehebatan Khalifah Umar Abd Aziz yang warak dan zuhud itu ialah:
+ Ketika baru dilantik menjadi khalifah, ia mengundang ulama ke markasnya, dan dengan segala rendah hati, meminta ulama menasihati pemerintahannya, memandu supaya tidak melakukan kesalahan.
+ Mempasatikan kakitangan pelbagai jabatan di negaranya tidak menjadi ‘sarang’ kezaliman, diskriminasi, rasuah, pilih kasih, penindasan dan sebagainya.
+ Menentang para penjawat awam dari hidup bermewah-mewah yang menjadi tradisi dan budaya para pemimpin Bani Umaiyah sebelum ini.
+ Kenderaan dan pakaian mahal yang diberikan kepadanya diserahkan kepada Baitul-Mal (Perbendaharaan Negara). Ia hanya menggunakan kenderaan dan pakaian yang sangat sederhana dan diperlukan saja.
+ Tidak menggunakan harta negara (seperti rumah kerajaan, api, air dan lain-lain) untuk kepentingan peribadi.
+ Dia menghapuskan gaya hidup kekaisaran (maharaja) yang diamalkan oleh dinasti Umaiyah sebelumnya dan dia hanya mencontohi peribadi keturunannya Khulafah-ul-Rasyidin, Umar Al-Khattab yang sangat sederhana dan adil.
+ Dia melarang rakyat berdiri menghormatinya ketika dia hadir di sesuatu majlis dan dia menghulurkan tangan lebih dulu untuk bersalaman dengan rakyat. Dan jika ia menghadiri sesuatu keraian, dia tidak duduk di tempat yang dikhaskan kepada tetamu kehormat, tetapi ia duduk bersama rakyat menyebabkan tetamu kehormat datang menemuinya.
+ Dia membenarkan rakyat berjumpa dengannya tanpa protokol dan kebenaran penjawat awam lebih dulu.
+ Dia memberikan kepada rakyat tanah dan harta yang dirampas oleh pemerinah sebelum ini.
+ Dia menyerahkan barang perhiasan isteri dan hartanya kepada Baitul-Mal kecuali apa yang sangat diperlukannya saja.
+ Dia mengambil gaji hariannya sedikit saja. Itupun dari sebahagian yang sedikit itu diberikannya pula kepada para pegawainya supaya para pegawai itu tidak khianat dan rasuah.
+ Dia ingin menunaikan fardu haji dan bertanya kepada puteranya mengenai kewangan, lalu dia diberitau bahawa wang yang ada sebanyak sepuluh dirham. Lalu Umar Abd Aziz bertanya, “berapa sebenarnya menjadi hakku?” Lalu puteranya itu memberitahu, “Wahai Aamirul Mukminin bersiaplah. Kota ada tujuh puluh ribu dinar, harta pusaka dari Bani Marwan.” Maka Khalifah Umar Abd Aziz segera mengarahkan, “Masukkan ia ke Baitul-Mal dan ambil sekadar mencukupi.”
+ Ia sering memberitahu putera-puterinya bahawa, “tidak ada gunanya engkau hidup mewah, sedangkan ayahmu terhumban ke dalam neraka.”
Khalifah Umar memerintah dengan pandangan jauh dan tidak sekadar menekankan pembangunan material, tetapi serentak membangun rohani rakyatnya. Dialah orangnya yang memperkukuh konsep modal insan dalam pemerintahan Islam.
Kekuatannya ialah kerana ia menghubungkan kuasa dan pemerintahan itu dengan balasan di akhirat kelak, kerana kuasa adalah amanah.
Demikian peribadi hebat khalifah agung ini yang wafat pada 101 Hijrah dalam usia muda, 39 tahun, yang kewafatannya didakwa kerana diracun, disebabkan rasa tidak puas hati oleh sesetengah pihak dalam keturunan Bani Umaiyah sendiri yang selama ini terbiasa dengan kehidupan mewah dan salahguna kuasa.
Orang tua yang saya ceritakan tadi sudah lama membaca kisah Umar Abd Aziz ini. Ditakdirkan dalam era kemenangan Pakatan Rakyat di lima negeri, nama Umar Abd Aziz menjadi role-model kepada pemimpin baru ini. Dan sejauh ini langkah kecil sudah dimulai ke arah mencontohi kehidupan sederhana Khalifah Umar ini.
Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abd Aziz Nik Mat sudah memulainya sejak PAS memerintah Kelantan 18 tahun lalu.
Kehidupan sederhana Tuan Guru, solat dan doa munajat serta tangisannya yang sangat menggetarkan perasaan di Subuh Jumaat, di Kota Bharu, sehari sebelum hari mengundi, yang dipancarkan di seluruh negara oleh pelbagai saluran media alternatif memberikan kekuatan luar biasa kepada pendukung keadilan, khususnya umat Isam. Di sinilah bermulanya kemenangan.