Oleh Utusan
Khamis, 03 April 2008
KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengancam untuk memboikot dua sambutan Hari Pekerja anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bulan depan.
Presidennya, Omar Osman berkata, keputusan itu diambil sebagai tanda kecewa mereka terhadap kegagalan kerajaan menunaikan lima tuntutan sebelum ini.
“Keputusan ini diambil kerana kerajaan serta JPA masih enggan mempertimbangkan lima tuntutan kami.
“Malah tindakan kerajaan menarik balik elaun kritikal dan imbuhan tetap perumahan sebanyak 10 peratus yang diterima kakitangan berjawatan kritikal pada Februari lalu memburukkan lagi keadaan,” katanya di sini semalam.
Omar berkata, selain penarikan elaun dan imbuhan tetap, isu lain yang diketengahkan Cuepacs seperti bayaran honorarium RM2,000 bagi tahun 2007 kepada 1.2 juta kakitangan awam seluruh negara dan pemansuhan Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) juga dipandang sepi.
Beliau berkata, pihaknya juga menuntut penyelesaian segera bagi cadangan kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar dan peningkatan umur persaraan daripada 55 tahun kepada 60 tahun yang disuarakan sebelum ini.
Omar berkata, Cuepacs merancang menganjurkan sendiri sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei di Johor Bahru.
0 Response to 'Masalah baru Abdullah: Cuepacs ancam boikot'
Post a Comment
Subscribe to:
Post Comments (Atom)