"Pembaharuan kehakiman melibatkan perubahan asas" Zaid

Posted On 7:48 PM by Ismawi Ishak |

Oleh Bernama
Khamis, 27 Mac 2008

PUTRAJAYA: Pembaharuan dalam badan kehakiman negara tidak akan membabitkan perubahan luaran tetapi perubahan asas dan memelihara pengasingan kuasa antara kehakiman, perundangan dan eksekutif, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, Rabu.


Pada Isnin, Karpal Singh yang juga pengerusi kebangsaan DAP berkata Dr Mahathir sepatutnya memohon maaf kepada mangsa-mangsa krisis kehakiman 1988 dan bukan kerajaan sekarang.

Katanya beliau akan mengemukakan pandangannya mengenai perkara ini kepada Kabinet pada pertengahan bulan depan.

Bagaimanapun, katanya pembaharuan itu akan dijalankan secara berperingkat-peringkat kerana ia membabitkan banyak perkara.

"Pembaharuan kehakiman ini tidak akan bermakna jika ia hanya melibatkan perubahan luaran. Saya berminat dengan perubahan asas. Saya mahu memelihara pengasingan kuasa," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Beliau berkata tidak ada makna dalam perlembagaan jika tidak ada keseimbangan dalam sistem kehakiman negara.

"Saya mahukan sebuah kerajaan yang jujur dan bebas rasuah. Saya ingin melihat pengukuhan badan kehakiman dengan orang yang berkemampuan dan orang yang berintegriti," kata beliau.

Beliau berkata pembaharuan badan kehakiman juga mengambilkira sesetengah perlembagaan negeri yang lama dan ketinggalan zaman.

Pada soalan samada kerajaan persekutuan sekarang atau bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu memohon maaf secara terbuka kepada mereka yang menjadi mangsa semasa krisis yang membawa kepada peletakan jawatan ketika itu Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dan Hakim Mahkamah Agung Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh dan Datuk George Seah, Zaid berkata orang ramai tidak boleh mengharapkan Dr Mahathir akan memohon maaf kepada mereka.

"Ini kerana pentadbiran beliau sudah tidak ada lagi. Peguam Karpal Singh membuat kenyataan nakal," kata beliau.

Pada Isnin, Karpal Singh yang juga pengerusi kebangsaan DAP berkata Dr Mahathir sepatutnya memohon maaf kepada mangsa-mangsa krisis kehakiman 1988 dan bukan kerajaan sekarang.

Zaid juga berkata suruhanjaya siasatan diraja tidak perlu ditubuhkan untuk mengetahui samada sebarang salahlaku Dr Mahathir dan samada Perlembagaan Persekutuan telah disalahgunakan semasa krisis 1988 itu seperti yang dicadangkan oleh Karpal Singh.

"Tidak ada keperluan untuk menubuhkan suruhanjaya diraja itu," kata beliau.

Ditanya samada terdapat sebarang peruntukan dalam undang-undang yang membenarkan Umno mencabar institusi diraja dalam pengisytiharan pelantikan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said sebagai batal dan tidak sah, Zaid berkata: "Terdapat ketidaksetujuan dalam menginterpretasi undang-undang dan persoalan bidangkuasa berkaitan masalah itu di Terengganu," kata beliau.

"Walaupun di kalangan peguam, mereka juga ada penghujahan berlainan mengenai perkara ini. Apa yang penting, kita hendaklah mengkaji isu ini. Ia telah menyulitkan kerana kita mempunyai perlembagaan negeri yang lama dan ketinggalan zaman,".

"Terdapat penyatuan faktor yang menyebabkan masalah ini di Terengganu. Sesetengah adalah isu perundangan dan sesetengah ialah isu perlembagaan dan sesetengah bukan," kata beliau.
0 Response to '"Pembaharuan kehakiman melibatkan perubahan asas" Zaid'