Melayu Kedah tuntut PM lantik menteri penuh dari negeri itu

Posted On 11:01 PM by Ismawi Ishak |

Oleh Bernama
Isnin, 24 Mac 2008

PERHIMPUNAN Melayu Kedah merayu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melantik seorang menteri penuh dari kalangan anggota parlimen negeri ini dalam barisan kabinetnya.

Pengerusi Perhimpunan Melayu Kedah dan veteran UMNO, Tan Sri Khalid Abdullah berkata kerajaan perlu bertindak adil agar rakyat Kedah dapat menyuarakan hasrat mereka melalui menteri penuh.

"Barisan menteri menunjukkan ketidakadilan berlaku dalam kabinet Abdullah apabila tiada menteri penuh dari Kedah dilantik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini, Barisan Nasional (BN) Kedah hanya memenangi empat daripada 15 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Abdullah yang mengumumkan barisan kabinetnya pada 18 Mac setakat melantik tiga orang wakil Kedah sebagai timbalan menteri.

Mereka ialah Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang tidak bertanding dan Datuk Mohd Johari Baharum, kedua-duanya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Datuk Chor Chee Heung (Kementerian Dalam Negeri).

Mohd Johari ialah ahli parlimen Kubang Pasu dan Chor parlimen Alor Star. Dua lagi kerusi parlimen yang dimenangi BN ialah Jerlun dan Langkawi.

0 Response to 'Melayu Kedah tuntut PM lantik menteri penuh dari negeri itu'