Bukan Menangguk Di Air Keruh - Ku Li

Posted On 12:20 AM by Ismawi Ishak |

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah berkata beliau bukan mahu "menangguk di air keruh" dengan cuba memainkan peranan memulihkan Umno tetapi merasa bertanggungjawab untuk menggerakkan Umno demi survival parti dan bangsa Melayu.

Bekas menteri kewangan itu berkata tindakan beliau tampil mencadangkan satu mesyuarat agung khas diadakan Umno dan menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden bertujuan untuk membangkitkan semula parti daripada terus tersungkur.

"Saya menyatakan kesediaan untuk membangkitkan semangat ahli Umno yang telah lemah, tidak bermaya setelah Barisan Nasional (BN) kehilangan empat buah negeri selain gagal merampas semula Kelantan daripada PAS pada pilihan raya umum lepas dengan niat yang ikhlas, mahu melihat parti ini kembali kuat.

"Ini yang menyebabkan saya berasa terpanggil untuk membantu memulihkan parti," katanya kepada Bernama di kediamannya di sini malam tadi.

Sebelum itu, beliau menerima kunjungan beberapa pemimpin akar umbi dari Johor bagi mendapatkan penjelasan sebenar tentang saranannya supaya diadakan perhimpunan agung khas bagi membincangkan isu kekalahan BN.

Tengku Razaleigh berkata pada pandangannya, mesyuarat agung khas yang dicadangkan itu adalah wajar untuk membolehkan pimpinan Umno akar umbi menyatakan pendapat dan pendirian mereka kepada pucuk pimpinan berhubung kekalahan BN di Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang serta gagal merampas semula Kelantan daripada PAS.

Katanya anggota Umno rata-rata mahu melihat Umno kembali kuat dan terus menjadi payung kepada orang Melayu yang kini merasakan diri mereka sudah tergugat akibat adanya segelintir anggota parti berjuang lebih kepada kepentingan peribadi daripada memperjuangan nasib mereka.

-- BERNAMA
0 Response to 'Bukan Menangguk Di Air Keruh - Ku Li'